17 Jun 2016 Kunjungan Hormat Ke Arkib Negara

ArkibNegaraNews
MACP

Perwakilan MACP yang terdiri daripada Pn Habsah Hassan, Pengerusi, En Ad Samad, Pengarah, Ms. Chan, Pengurus Besar dan Justin Johari, Pengurus Undang-Undang telah mengadakan satu kunjungan hormat ke Arkib Negara.

Perwakilan MACP telah diterima dengan baik oleh Ketua Pengarah Arkib Negara En. Azemi Bin Abdul Aziz, Pn. Habibah Binti Ismail, Pengarah, Bahagian Pengurusan Arkib, dan lain-lain pegawai Arkib Negara.

Antara perkara yang telah dibincangkan adalah fenomena ramai orang awam khususnya para pelajar di peringkat sekolah rendah, menengah mahupun IPT yang tidak mengenali komposer muzik tanahair secara mendalam. Salah satu sebab permasalahan tersebut adalah kekurangan bahan rujukan mengenai karya-karya mereka serta maklumat peribadi mereka.

MACP berharap hasil kunjungan ini, usaha sama dengan Arkib Negara dapat menyediakan peluang dan ruang untuk masyarakat mendekati, mengkaji dan mengenali secara lebih dekat para karyawan muzik; terutamanya komposer-komposer yang telah banyak berjasa menghidupkan industri hiburan tanah air. Pengumpulan maklumat di Arkib Negara sebanyak mungkin mengenai karya, personaliti dan sumbangan komposer-komposer muzik akan memberikan akses kepada orang awam sebagai sumber rujukan yang utama di Malaysia.

Satu taklimat akan diberikan oleh Arkib Negara untuk ahli-ahli MACP bagi mengetahui dengan lebih mendalam peranan Arkib serta maklumat-maklumat yang dikehendaki serta hakcipta bahan-bahan rujukan yang disimpan oleh Arkib Negara.

MACP amat berbesar hati atas peluang yang diberikan dan berharap agar niat dan usaha murni seperti ini dapat mewujudkan suatu perhubungan yang positif dan sihat demi menjaga khazanah muzik Negara yang akan diwarisi generasi, zaman ke zaman.